Fasa 1: Analisis & Kebolehlaksanaan Fasa 2: Reka Bentuk & Pembangunan Fasa 3: Implementasi & Penyenggaraan Fasa 4: Impak & Permodelan Melalui model ini, suka untuk saya kongsi sedikit sebanyak dan kaitkan dengan proses pelaksanaan saya menjalankan Projek Tahun Akhir semasa degree dahulu yang bertajuk Budaya "Spill the Tea" di Media Sosial Menurut al-Quran: Video Infografik; 1. Analisis & Kebolehlaksanaan Fasa untuk menganalisis. Fasa analisis ini adalah fasa yang kita boleh lihat dalam kebanyakan model lain sebagai langkah pertama kajian antaranya dari akronim A di model ADDIE dan ASSURE. Di fasa inilah kita analisis dari pelbagai sudut, samada mengkaji keperluan kajian itu, mencari titik kelebihan dan kelemahan menggunakan SWOT ataupun mencari dan membuat sorotan literatur. Fasa ini juga boleh kita manfaatkan dengan menentukan metodologi atau mengenalpasti teori dan konsep yang hendak digunakan. Output bagi fasa ini termasuklah matlamat pengajaran dan hasil pembelajaran yang ditetapkan. Hasil output di dalam fasa ini akan dijadikan input pada fasa reka bentuk kelak. Fasa ini akan menjelaskan faktor utama kajian ini dijalankan (Abu Jalil dan Shahri, 2021). Dalam fasa ini, cubaan untuk mengumpul maklumat berkaitan “Spill the Tea” telah dijalankan. Namun, permasalahan yang berlaku adalah kurangnya kertas kerja atau projek yang menggunakan kata kerja “Spill the Tea” disebabkan ia menurut Khalis dan Rifhan (2019) adalah simpulan bahasa yang digunakan warga internet bermula tahun 2019. Oleh itu, langkah yang telah diambil adalah dengan mencari kajian menggunakan kata kunci aib atas faktor maksud di sebalik kata “Spill the Tea” sangat bertepatan dengan maksud membuka aib sebagaimana menurut Khalis dan Rifhan (2019) bahawa analisis menunjukkan kebanyakan pengguna Twitter(sokongan kajian) menggunakan perkataan ‘tea’ ini untuk mendedahkan rahsia-rahsia yang sangat peribadi dan dialami sendiri oleh pengguna akaun. Selain itu, antara maklumat lain yang dianalisis adalah objektif projek, ruang lingkup yang disentuh, kepentingan projek di samping menetapkan medium akhir yang akan digunakan hasil perbincangan bersama penyelia projek. 2. Reka Bentuk & Pembangunan Fasa reka bentuk ini membentuk dan menyusun atur objektif kajian dan kandungan kajian berdasarkan teori-teori serta model yang bersesuaian dengan kajian. Reka bentuk ini juga menggariskan cara bagaimana untuk mencapai matlamat kajian atau output melalui kerangka kajian. Selain itu, kajian-kajian lampau turut menjadi rujukan dalam menghasilkan kandungan yang berkesan. Pada fasa ini, hasil daripada asimilasi video-video semasa proses analisis, penetapan tema (Theme) bagi projek ini dipilih dan ditetapkan dengan tema “Pop Art”. “Pop Art” telah muncul pada pertengahan tahun 50-an di Britain dan Amerika Syarikat dipelopori oleh Lawrence Alloway (Bohan Wang et al, 2020). Perkataan “Pop Art” itu sendiri telah mengambarkan sesuatu yang baru dan moden. Seterusnya setelah menetapkan tema, perkara pertama yang dilakukan adalah mereka bentuk carta alir (Flow chart) bagi memastikan gerak kerja terus berjalan mengikut objektif dan isi utama. Kemudian lakaran papan lukis (storyboard) merangkumi babak, audio, durasi, teks dan suara latar telah dihasilkan mengikut tema video infografik ini. Output dalam fasa reka bentuk menjadi input kepada fasa pembangunan seterusnya. Fasa pembangunan adalah fasa kajian mula dijalankan. Fasa ini membabitkan proses menapis material atau bahan grafik dan illustrasi yang telah dikumpul bagi mendapatkan bahan yang tepat di samping menetapkan template yang ingin digunakan. Mengenai isi kandungan yang dibina terutamanya bagi elemen transisi antara satu tajuk kecil, pembangun telah memutuskan untuk memulakan video infografik ini dengan animasi ringkas sebelum pengenalan tajuk untuk menampakkan sedikit kelainan dan aslinya berbanding yang lain. Dalam proses pembinaan isi kandungan, kandungan yang sedia ada digunakan disesuaikan dengan strategi pembangunan berasaskan situasi yang telah dipilih. Dengan segala perancangan yang telah dilakukan sebelum menghasilkan projek video infografik, proses ini menjadi lebih mudah memandangkan hanya perlu merujuk dan mengaplikasikan sahaja apa yang telah dirancangkan pada fasa reka bentuk. Fasa 3: Implementasi & Penyenggaraan Fasa implementasi adalah fasa kita guna semula dan terapkan apa yang telah direka bentuk. Dalam fasa ini, bagi memastikan projek dilaksanakan dengan efisien dan berkesan, penerapan unsur multimedia ke dalam projek seperti gambar, animasi dan audio amat dititikberatkan. Kepentingan fasa pelaksanaan ini dapat membantu membuat refleksi perjalanan projek yang berlaku dan untuk mengetahui sejauh mana ia memenuhi kehendak projek. Projek yang telah disiapkan juga diuji terlebih dahulu bagi mengesan dan mengenal pasti kesilapan semasa proses pembangunan projek berlaku seterusnya penambahbaikan dilakukan sebelum diterbitkan. Sebagaimana dicatatkan Baharuddin (2001), hasil pemerhatian, proses penambahbaikan dapat dilaksanakan sebelum aplikasi sebenar digunakan secara rasmi. Fasa 4: Impak & Permodelan Fasa ini mengikut kefahaman saya, ia adalah seperti fasa penilaian. Hasil kajian yang telah dilakukan itu akan diuji bagi mengetahui adakah objektif dan matlamat kajian tercapai. Penilaian adalah satu tahap di mana bahan yang telah disediakan diproses untuk mengukur dan mendapatkan maklum balas pengguna modul terhadap keseluruhan rangka kursus. Ia meliputi keempat-empat tahap iaitu analisis dan kebolehlaksanaan, rekabentuk dan pembangunan dan implementasi dan penyengaraan. Tujuan utama fasa penilaian ini ialah untuk menilai kualiti produk dan proses pembelajaran sebelum dan selepas proses implementasi. Prosedur biasa dalam fasa penilaian ialah menentukan kriteria penilaian, memilih atau membangunkan alat penilaian seterusnya melakukan penilaian. Pada fasa terakhir ini, penilaian formatif dan sumatif atau apa sahaja instrumen pengukuran dan penilaian boleh dijalankan untuk memastikan kajian yang dilakukan memenuhi keperluan dan dibuat dengan sebaik mungkin. Maklum balas yang diperoleh menerusi penilaian akan digunakan untuk menambah baik perancangan dan kandungan projek. Sebagai kesimpulan, model Universal Design for Agile Development (UDin) yang diketengahkan ini adalah mampu untuk diikuti dan diaplikasikan dalam penyelidikan. Setiap fasa itu melengkapi antara satu sama lain dan membantu pengaturan proses penyelidikan berjalan lancar. Jika diberi peluang, akan saya guna model ini dalam kajian saya akan datang! Sebelum mengakhiri posting ini, dilampirkan QR Code projek tahun akhir yang telah saya hasilkan berpandukan ADDIE Model namun dapat saya kaitkan dan tambah pengetahuan dengan Model UDin (Din, 2020) ini. Ini adalah kelas kedua dan mungkin terakhir untuk semester ini bersama Dr Rosseni, namun saya harap dapat bertemu lagi dengan Dr dan menuntut ilmu dari beliau. Semoga Dr Rosseni diberikan kesihatan yang baik dan sentiasa dalam lindungan Allah.
0 Comments
Topik hari ini adalah mengenai Modul Penyelidikan Reka Bentuk dan Pembangunan Media (DDR).
Dr Rosseni telah membincangkan secara ringkas dan padat mengenai beberapa topik, antaranya mengenai model-model dan juga teori yang diguna pakai di dalam penyelidikan. Tajuk ini adalah sangat menarik pada saya kerana banyaknya perkara baru yang saya pelajari. Topik yang telah dijelaskan oleh Dr Rosseni hari ini merangkumi; Topik 1: Pengenalan Penyelidikan Pembangunan Media Topik 2: Model ID – Model Reka Bentuk Pengajaran & Pembelajaran Topik 3: Teori Pembelajaran Topik 4: Strategi Pembelajaran Bermakna Topik 5: Kaedah Pembelajaran Berorientasikan Masalah & Berasaskan Projek Modul Nilai untuk 3 topik asas: Topik 1: Pendidikan Teknologi Disepadukan Nilai Topik 2: Pendidikan Disepadukan Nilai Topik 3: Nilai dalam Pembentukan Masyarakat Sejahtera Topik yang paling saya minati adalah berkenaan Model ID. Apabila Dr menyebut satu-persatu model yang sudah terkenal seperti ADDIE model dan ASSURE, saya teruja kerana saya pernah dengar berkenaannya sebelum ini, dan hasil penerangan Dr inputnya bertambah dan membantu untuk kekal dalam pengetahuan Insya Allah. Dr menjelaskan lagi berkenaan model-model lain, saya teruja juga kerana boleh tahan banyak ya model yang sebenarnya boleh kita guna pakai dalam penyelidikan kita, cuma perlu bijak untuk selarikan dengan kajian yang dijalankan. Sebagai catatan kendiri, saya akan letakkan di sini model baharu saya belajar hari ini. Model Rengkas: Reka Bentuk Universal dan Pembangunan Tangkas Menariknya model ini pertamanya kerana ia bermula pada tahun kelahiran saya iaitu 1999. Istimewa dan Insya Allah saya ingat selalu sebab rasa istimewa dan "related". Penjelasan lanjut mengenai model ini akan diteruskan pada refleksi sesi yang kedua. Selain daripada penerangan mengenai model-model penyelidikan yang sangat mengujakan, Dr Rosseni turut membincangkan tentang modul Nilai. Topik pertama adalah berkenaan Pendidikan Teknologi Disepadukan Nilai dan dikaitkan dari Perspektif Risalah Nur. Saya telah membaca penulisan Dr Rosseni dan penyelidikan yang dijalankan beliau mengenai tajuk ini dan saya setuju, sains teknologi tidak perlu dan tidak boleh dipisahkan daripada Islam. Jika diguna dengan baik dan berhemah, kesepaduan antara Teknologi dan Islam itu seharusnya mengangkat Islam di mata dunia. Lihat sahaja tokoh ulama Islam pada zaman dahulu yang menginovasikan teknologi yang diguna pakai sehingga hari ini seperti Al Kindi, Al Razi, Ibnu Sina, Al Biruni dan ramai lagi tokoh pemikir serta ahli sains Islam. Jika ditelusuri dan dihayati sejarahnya, rasa sebak. Tapi siapa tahu, mungkin suatu hari nanti, mungkin antara kita atau orang sekeliling kita yang akan menjadi tokoh inovasi Islam terkini. Seterusnya adalah tentang nilai dalam pendidikan dan pembentukannya kepada masyarakat yang sejahtera. Jika disebut perkataan "Nilai", pertama yang bermain di dalam kepala saya adalah nilai murni dan yang keduanya adalah berharga. Selalu kan kita sebut "Bernilai jam ni", maksudnya berharga atau mahal. Jadi, nilai murni itu sendiri adalah bernilai. Dalam pendidikan, pada pandangan peribadi saya yang bukan berlatar belakang pengajian pendidikan untuk Ijazah Sarjana Muda, namun saya pernah berkhidmat selama 2 tahun sebagai sukarelawan mengajar kanak-kanak istimewa. Walaupun 2 tahun itu singkat, banyak yang saya pelajari terutamanya dalam memahami pelajar. Pendekatan bagi setiap pelajar itu berbeza daripada segi mengajar, berkomunikasi, cara memberi reaksi, semuanya memerlukan persediaan yang rapi dan tersendiri. Akhir kata, nilai-nilai baik ini membentuk tamadun dari segenap aspek. Jika tahu nilai dalam penggunaan teknologi, tidak akan ada masalah penyelewengan, penyebaran berita palsu dan seangkatan dengannya. Jika tahu bernilainya pendidikan, tidak akan ada ucapan "Belajar tinggi-tinggi akhirnya duduk dapur jua". Pendidikan inilah yang membentuk generasi akan datang. Sekian, jika dibiarkan penulisan ini mungkin tidak ada noktah akhir. Perkongsian daripada Dr Rosseni dalam topik semasa kelas live dan di laman web beliau adalah amat bermanfaat dan menarik untuk difahami lebih lagi. |
Dr Rosseni DinProf. Madya Dr. Rosseni Din received her PhD in Management Information System (UKM), Master in Computer Education (UKM), Bachelor of Computer & Information Science (CSU, Ohio), Dip. Ed. in Computer Science and Mathematics Method (UTM) and Certificates in Quranic Studies (UKM) & Qiraati Education (ABIM). She is an Associate Professor at STEM Cultural Research Centre, Faculty of Education, UKM. ArchivesCategories |